Followers

Assalamualaikum,

1.Saya nak minta pangangan tentang JIN dll.

2.Dah hampir sebulan pelajar perempuan sekolah / asrama ana antara 25 - 30 orang di serang histeria / di masuki jin.Ianya bermula sejak buka sekolah pada tahun 2004.Berbagai ikhtiar telah di buat menggunakan pendekatan rawatan cara islam oleh bekas anak murid sama ada Ustaz Harun Din atau Ustaz Ismail Kamus dan lain telah di cuba tapi sekejap hilang tp muncul semula.

3.Waris dah mula resah dan mencadangkan bermacam-macam kaedah rawatan antaranya :
a. Tangkap jin menggunakan 3 biji telur selama 4 malam berturut-turut dan jin2 itu akan di hanyutkan dalam buyung tanah di dalam sungai. ( seorang aktivis PAS ) yang di anggap beragama.Telah di buat di SMK Junjung Kulim dan alhamdulillah pulih hingga hari ini.
b. Melalui seorang kenalan (ustaz balik mesir ) syor seorang mudir sekolah agama menggunakan jin ( kononnya jin islam seorang syeikh dari Yaman ) masuk kedalam badan manusia dan bertindak mengngusir jin yang jahat.Telah di di buat di SMA Jangkang,Kulim dan ternyata keadaan pulih hingga hari ini.

Waris mendesak untuk menggunakan kaedah itu setelah di katakan kami gagal dalam usaha yang kami lakukan sebelum ini( melalui anak buah Ustaz Harun Din dll ).Ana jadi serba salah takut nanti melibatkan masalah akidah.Mohon pandangan dari ulamak2 semua........

Jawapan

Berikut adalah keterangan-keterangan yang ana kutip dari pandangan beberapa ulama' serta fatwa2 berkenaan hubungan antara manusia dengan jin.

Berinteraksi atau bergaul dengan jin merupakan sesuatu yang mengandungi bahaya besar dan ia merupakan salah satu pintu keburukan dan kerosakan. Cukuplah dalam hal ini bahwa syirik tidaklah masuk ke dalam diri manusia kecuali melalui jalan mereka (jin), sebagaimana diberitahu oleh Rasulullah saw tentang pengajaran Allah kepada hamba-hamba-Nya :

"Dan sesungguhnya Aku menciptakan hamba-hamba-Ku seluruhnya dalam keadaan lurus maka kemudian datanglah syaithan dan menyimpangkan mereka dari agama mereka. Dia mengharamkan bagi mereka apa yang Aku halalkan bagi mereka serta memerintahkan mereka agar menyengutukan-Ku dengan apa-apa yang tidak Aku turunkan kepadanya suatu penjelasan." (HR. Muslim)

Walaupun di antara golongan jin ada yang beriman dan muslim sebagaimana di antara mereka juga ada yang kafir dan fasik namun oleh kerana mereka tidak nampak di hadapan manusia membuatkan rasa ketidaktenteraman manusia terhadap siapa pun di antara mereka (jin) dan menjadikan manusia khuatir dengan tipu daya mereka, khususnya ketika tersebar luasnya kebodohan, bid'ah yang boleh membawa kepada syirik dan pada umumnya akan menjatuhkan kebanyakan manusia ke dalam apa-apa yang diharamkan kemudian tidaklah banyak bermanfaat bagi mereka kecuali sedikit sekali.

Firman Allah swt :

"Dan bahwasanya ada beberapa orang laki-laki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki di antara jin, Maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan." (QS Al Jin : 6)

Oleh kerana itu, fatwa ahli ilmu mengharamkan adanya saling memberikan dengan jin dan bergaul dengan mereka secara mutlak—baik terhadap jin yang mukmin mahupun kafir di antara mereka—dan yang penting adalah tidak memandang mudah permasalahan ini serta sebagai tindakan pencegahan (preventive) dari terbukanya pintu fitnah dan kegawatan serta memelihara hati manusia untuk tetap terisi oleh fitrah imaniyah.

Di dalam al Mausu'ah al Fiqhiyah ada dicatatkan : "Adapun meminta pertolongan kepada selain Allah swt, baik kepada manusia atau jin, apabila meminta pertolongan kepada jin maka hal ini terlarang kerana boleh membawa kepada syirik dan mengakibatkan kekufuran, sebagaimana firman Allah ta'ala :

"Dan bahwasanya ada beberapa orang laki-laki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki di antara jin, Maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan." (QS Al Jin : 6)

Syeikh Nasiruddin al Albani didalam kitabnya "As Silsilah ash Shahihah" (hadits no. 2760) mengatakan,"Dan pada sisi ini, sebahagian orang melaksanakan usaha mengubati manusia, yang umumnya mereka di sebut dengan "Doktor Rohani" samada dengan cara-cara kuno seperti berhubungan dengan temannya dari golongan jin—sebagaimana pernah dilakukan pada masa jahiliyah—atau dengan cara yang ketika ini dikenali dengan menghadirkan arwah, dan sejenisnya (Hipnotis), maka sesungguhnya itu semua merupakan wasilah yang tidak disyariatkan kerana perkara itu kembali kepada meminta pertolongan kepada jin yang merupakan sebab kesesatan orang-orang musyrik sebagaimana yang disebutkan didalam Al Qur'an al Karim :

"Dan bahwasanya ada beberapa orang laki-laki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki di antara jin, Maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan." (QS Al Jin : 6)

Sebahagian orang yang melakukan permintaan bantuan kepada golongan jin beranggapan bahwa mereka meminta pertolongan kepada jin-jin yang soleh di antara mereka maka ini adalah anggapan yang tidak betul kerana kebiasaannya mereka tidak mungkin atau tidak mampu bercampur dan berinteraksi dengan jin-jin itu sehingga dapat menyingkap akan kesolehan atau kerosakan mereka.

Kita mengetahui melalui pengalaman bahwa kebanyakan di antara manusia yang memiliki teman yang rapat dengan jin-jin tersebut tetapi ternyata pada akhirnya menjadi jelas bahwa jin-jin tersebut bukanlah termasuk dari mereka yang soleh.

Firman Allah swt :

"Hai orang-orang mukmin, sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka) Maka Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (QS At Taghaabun : 14)

Ayat di atas membicarakan tentang manusia yang nampak oleh mata zahir kita jadi bagaimana pula terhadap jin yang kita tidak nampak sepertimana firman Allah swt :

"Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak dapat melihat mereka." (QS Al A'raf : 27)

Berikut adalah beberapa fatwa berkaitan dengan perhubungan antara manusia dan jin :

1.Meminta Pertolongan Jin Untuk Mengetahui Jenis Penyakit

Soalan : Apakah hukum meminta pertolongan jin untuk mengetahui adanya hipnotis atau sihir, demikian juga untuk mempercayai perbicaraan jin yang merasuk ke dalam tubuh orang yang sakit dengan dakwaan bahwa ia terkena sihir atau hipnotis, menurut pengakuan jin itu?

Jawapan : Tidak boleh meminta bantuan jin untuk mengetahui penyakit yang dihinggapi atau cara mengubatinya kerana meminta pertolongan dari jin itu syirik, berdasarkan firman Allah swt:

"Dan bahwasannya ada beberapa orang laki-laki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki di antara jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan.." (QS Al-Jin : 6)

Juga firman Allah swt:

"Dan (ingatlah) hari di waktu Allah menghimpunkan mereka semuanya, (dan Allah berfirman):"Hai golongan jin (syaitan), sesungguhnya kamu telah banyak (menyesatkan) manusia", lalu berkatalah kawan-kawan mereka dari golongan manusia:"Ya Rabb kami, sesungguhnya sebahagian dari pada kami telah dapat kesenangan dari sebahagian (yang lain) dan kami telah sampai kepada waktu yang telah Engkau tentukan bagi kami". Allah berfirman:"Neraka itulah tempat diam kamu, sedang kamu kekal di dalamnya, kecuali kalau Allah menghendaki (yang lain)". Sesungguhnya Rabbmu Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui. Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi teman bagi sebahagian yang lain disebabkan apa yang mereka usahakan." (QS. Al-An'aam : (QS Al-An'aam : 128-129)

Makna mengambil kesenangan sebahagian mereka dari yang lain adalah bahwa manusia memuliakan jin dan jin itu membantu mereka dalam hal yang mereka inginkan, serta mendatangkan apa yang mereka minta.
Di antaranya adalah memberitahukan kepada mereka keadaan penyakit dan sebab-sebabnya yang hanya diketahui oleh jin dan tidak diketahui oleh manusia. Kadang-kadang mereka berdusta kerana mereka memang tidak boleh dipercayai dan tidak boleh mempercayai mereka. Wallahu A'lam.

(Dikutip dari Fatawa Al-Lajnah Ad-Daa-imah Lil Buhuts Al-Ilmiyyah wal Ifta)


2.Hukum Meminta Pertolongan atau Memohon Keselamatan Kepada Jin

Soalan : Sebahagian orang kalau ingin mendoakan keburukan terhadap seseorang, ia mengatakan: "Hai jin, celakakanlah dia. Hai Ifrit, culik dia. Semoga Jin yang Tujuh mencelakakanmu, menghancurkan punggungmu dan menghisap darahmu." Apakah hukum ucapan-ucapan semacam itu?"

Jawapan : Itu jelas perbuatan syirik, termasuk meminta keselamatan kepada jin. Sebahagian orang melakukan perbuatan itu kerana dalam dada mereka ada rasa takzim (mengagungkan) terhadap jin-jin tersebut, dan rasa takut terhadap kekuasaan mereka. Ini adalah kerana hati yang kosong dari iman yang jernih kepada Allah, kosong dari sifat tawakkal yang bersih kepada Allah pasti akan cenderung kepada perasaan semacam itu dan meminta keselamatan kepada para makhluk yang untuk diri mereka sendiri sahajapun mereka tidak memiliki manfaat dan mudharat, apa lagi kalau untuk membantu orang lain mendapatkan manfaat dan mudharat.

Ketika Syaikh Abdul Aziz bin Baaz ditanya tentang hukum perbuatan tersebut, beliau menjawab: "Itu termasuk perbuatan syirik yang paling buruk terhadap Allah Subhanahu wa Ta'ala. Perbuatan semacam itu mesti ditinggalkan dan perlu berwaspada. Kita mesti saling menasihati untuk meninggalkan perbuatan itu dan mengingkarinya. Orang yang dikenal suka melakukan perbuatan semacam itu, tidak halal untuk dikahwini, tidak boleh dimakan sembelihannya, tidak boleh disolatkan, dan tidak boleh bermakmum kepadanya dalam solat, sehingga ia menampakkan taubatnya kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala dari perbuatan tersebut, dan hanya beribadah kepada Allah semata-mata. (Dipetik dari kitab Iqamatul Barahin 'Ala Hukmi Manis Taghatsa Bi Ghairillah hal. 30)

Adapun Al-Lajnah Ad-Daa-imah Lil Buhuts Wal Ifta juga telah mengeluarkan fatwanya tentang perkara itu: "Bahwasanya meminta tolong kepada jin dan merujuk kepada mereka dalam memenuhi keperluan untuk mencelakakan seseorang atau untuk menolong orang lain adalah perbuatan syirik kepada Allah dalam beribadah kerana itu termasuk bentuk mengambil kesenangan dari jin dengan dipenuhinya permohonan dan keperluannya. Sama halnya dengan mengambil kesenangan dari jin dengan cara mengagung-agungkannya, meminta pertolongan kepada jin dalam merealisasikan keinginannya sebagaimana firman Allah swt dalam surah Al Anaam ayat 128-29 dan juga surah Al Jin ayat 6 di atas."

Meminta keselamatan dari jin untuk mencelakakan orang lain atau untuk menolong orang lain, meminta pertolongan kepadanya untuk menjaga diri dari kejahatan orang lain yang dengki kepadanya, kesemuanya adalah perbuatan syirik. Orang yang berbuat demikian, tidak ada lagi pahala solat dan puasa.

Allah swt berfirman:

"Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada (nabi-nabi) sebelummu:"Jika kamu mempersekutukan (Allah), niscaya akan hapus amalmu dan tentulah kamu termasuk orang-orang yang merugi." (QS.Az-Zumar : 65)

Orang yang sudah diketahui melakukan perbuatan semacam itu, tidak boleh disolatkan apabila ia mati, tidak boleh dihantarkan jenazahnya dan tidak boleh dikebumikan di perkuburan kaum muslimin. (Dipetik dari Fatawa Al-Lajnah Ad-Daa-imah I : 407-408)

Adapun bentuk kejahilan meminta keselamatan atau meminta pertolongan kepada jin, kita boleh menyemak kata-kata syirik mereka:

"Demi Allah dan demi engkau; cukup bagi saya Allah dan engkau; saya hanya memiliki Allah dan engkau: Allah dan engkau yang menjadi tujuanku; aku hanya bertawakkal kepada Allah dan kepada engkau; aku memiliki Allah di langit dan memiliki engkau di bumi," dan sejenisnya.

(Di kutip dari Kitab Adaat wa Alfaazh Tukhalifu Dienallah Al-Haq oleh Doktor Muhammad bin Said Al-Qahthani)

3.Sentuhan Syaitan Dan Sihir

Soalan : Setelah pulang dari pengembaraannya, saudara saya mula berbicara yang pelik-pelik. Dia mula bercakap tentang beberapa ramalan dan kadang-kadang tidak bercakap dengan seorangpun. Dia telah tinggal di luar negara selama dua tahun. hingga suatu ketika dia berani meludah kepada ibunya. Kemudian kami meyakini bahwa dia telah mengidap sakit jiwa lalu kami membawanya berjumpa doktor tapi tidak ada perubahan sedikitpun. Kami menduga bahwa dia telah diganggu oleh jin atau sihir. Bagaimanakah cara kita mengetahui perkara itu dan bagaimana penyelesaiannya? Ibunya sampai jatuh sakit kerana hal ini.

Jawapan : Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Adapun perbezaan antara gangguan jin dan sihir maka beberapa orang yang mempunyai pengalaman dalam hal ini menerangkan bahwa di antara tanda-tanda orang yang diganggu jin adalah sebagai berikut:

a. Berpaling dan sangat tidak suka dan menghindarkan diri dari mendengar azan atau bacaan Al Quran.

b. Pingsan, kejang,atau lemah dan jatuh ketika dibacakan Al Quran.

c. Sering mimpi yang menakutkan.

d. Suka menyendiri, menyepi dan mempunyai perilaku yang aneh.

e. Kadang-kadang syaitan yang masuk kepadanya berbicara ketika dibacakan Al Quran.

f. Gila

Ini sesuai sebagaimana firman Allah swt:

"Orang-orang yang memakan riba mereka tidak dapat berdiri kecuali seperti berdirinya orang yang dipukul oleh syaitan kerana gila."

Adapun sihir, di antara tanda-tandanya adalah:

a. Orang yang terkena sihir membenci isterinya atau wanita yang tersihir membenci suaminya sebagaimana firman Allah swt:

"Lalu mereka mempelajari dari Harut dan Marut ilmu sihir yang boleh memisahkan antara seseorang dengan isterinya."

b. Berbeza keadaan dirinya antara di luar rumah dengan di dalam rumah dengan perbezaan yang cukup besar. Maka dia akan sangat rindu kepada isterinya dan rumahnya ketika dia berada di luar rumah, tetapi ketika dia masuk ke rumah, diapun membenci keluarganya dengan kebencian yang amat sangat.

c. Tidak mampu menggauli isterinya.

d. Bagi wanita yang hamil, sentiasa mengalami keguguran secara terus menerus.

e. Perubahan yang tiba-tiba terhadap perilakunya tanpa sebab-sebab yang jelas.

g. Tidak mempunyai selera makan sama sekali.

h. Sering berkhayal bahwa dia sedang mengerjakan sesuatu padahal dia tidak mengerjakannya.

i. Taat secara membabi buta dan cinta secara tiba-tiba serta berlebih-lebihan dalam bersikap kepada orang tertentu.

Namun ada perkara yang mesti kita perhatikan bahwa tanda-tanda yang disebutkan di atas tadi tidaklah bererti bahwa bila sebahagian di antaranya berlaku pada diri seseorang lalu dianggap dia telah terkena sihir atau jin. Kadang-kadang perkara itu berlaku disebabkan oleh keadaan fizikal atau kejiwaan yang lain.

Bagaimanakah cara-cara pengubatan apabila terkena ganguan di atas :

1. Tawakal kepada Allah dan benar-benar bersandar kepada-Nya. Diruqyah (dibacakan Al Quran kepadanya) dan berlindung kepada Allah dengan cara yang disyariatkan.

2. Surah yang terpenting yang mesti dibacakan adalah Al Falaq dan An Nas yang digunakan untuk mengubati Nabi Shalallahu 'Alaihi Wassalam dan tidak ada meminta perlindungan yang sebanding dengan dua surah tadi. Kemudian ditambahkan dengan surah Al Ikhlas. Manakala surah Al Fatihah pula merupakan ruqyah yang ampuh sebagaimana yang ditetapkan dalam hadis sahih.

3. Di dalam mengubati sihir, boleh juga mengambil tujuh helai daun bidara yang hijau, lalu ditumbuk dan disimpan dalam sebuah bejana (bekas) lalu dituangkan air ke dalamnya secukupnya untuk mandi lalu dibacakan ayat kursi, surat Al Kafirun, Al Ikhlas, Al Falaq, An Nas dan ayat-ayat sihir yang ada dalam surah Al Baqarah ayat 102, Al A'raf ayat 117-119, surahYunus ayat 79-82 dan surat Thaha ayat 65-69, kemudian sebahagian airnya diminum dan sisanya digunakan untuk mandi sepertiman yang pernah dicuba oleh beberapa orang ulama salaf dan perkara ini ternyata bermanfaat.

4. Mengeluarkan alat sihir dan merosakkannya sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Shalallahu 'Alaihi Wassalam ketika beliau disihir oleh Lubaid Bin Al A'sham, seorang Yahudi.

5. Menggunakan ubat-ubat yang dibolehkan seperti memakan tujuh buah kurma yang berkualiti (dari kurma Madinah) sebelum sarapan, kalau tidak ada, maka boleh memakan kurma jenis apa sahaja yang boleh didapati dengan izin Allah akan bermanfaat.

6. Berbekam.

7. Doa.

Kita mohon kepada Allah semoga Dia menyembuhkan saudara Anda dan melepaskan penderitaannya serta penderitaan Anda kerana Dialah Yang Maha Penyembuh yang tidak ada Penyembuh selain Dia.

(Dipetik dari Islam Tanya & Jawab - Syeikh Muhammad Sholih Al - Munajjid)

Semoga semua keterangan-keterangan di atas memberi manfaat yang banyak kepada kita semua dan kita berdoa semoga Allah swt sentiasa memelihara aqidah kita dari tersesat kerana sesungguhnya tidak ada yang selamat di akhirat nanti melainkan mereka yang datang bertemu Allah swt dengan membawa hati yang salim iaitu yang mempunyai aqidah yang sejahtera yang bebas daripada segala unsur-unsur syirik samada kecil atau besar.

*Perbincangan di atas dikutip dari mailing-list isma-net

0 comments